Sumber bahan asas adalah elemen yang paling penting untuk memastikan Loji Nuklear sentiasa beroperasi dan membekalkan tenaga.

International Atomic Energy Agency (IAEA) mengklasifikasikan sumber uranium kepada dua kategori iaitu pembekal utama (pelombong asal uranium dari bumi dan memprosesnya) dan pembekal kedua (pembekal yang menjalankan pengkayaan uranium, pencampuran bahan oksida, dan berbagai-bagai proses untuk menghasilkan uranium yang lebih berkualiti).

Setakat yang dilaporkan pada 2008, pembekal kedua mampu memenuhi permintaan sebanyak 42% sahaja untuk permintaan dunia. Tetapi, kuantitinya akan berkurangan sehingga 4%-6% pada 2025, dan ini dilema yang dihadapi IAEA.

Walau bagaimanapun, IAEA percaya pembekal kedua masih mampu memenuhi 8-11% permintaan dunia pada tahun tersebut.

Namun begitu, analisis daripada Minqi Li dari Universiti Utah menulis dalam Journal of Contemporary Asia, jika kita terlalu bergantung kepada sumber uranium yang ada pada kumpulan industri untuk menampung permintaan yang semakin bertambah (kerana industri nuklear makin berkembang), bekalan gobal untuk uranium hanya mampu membekalkan sebanyak 2% dan kemudiannya bahan asas tersebut hanya akan ada tersedia dalam masa 70 tahun kemudian.

Mengikut teori “Invisible Hand” oleh Adam Smith, permintaan tinggi untuk sumber yang berkurangan menyebabkan harga makin meningkat.

Tidak mustahil harga bahan asas (uranium) akan terus meningkat naik mendadak pada tahun tersebut dan menyebabkan kos tenaga Nuklear akan meningkat. Malah dengan pembinaan loji nuklear yang giat dijalankan oleh negara Asia turut akan menyebabkan permintaan uranium semakin tinggi.

Walaupun China dan India antara negara yang mengeksport uranium, tetapi ia sangat terhad, dan China National Nuclear Corperation menganggarkan permintaan uranium China akan meningkat dari 1000 tan pada tahun 2007 kepada 7000 tan pada tahun 2020.

Kemudian China akan bergantung sepenuhnya kepada Australia untuk mendapatkan bekalan uranium dan telah menandatangani perjanjian untuk mengimport 20,000 tan uranium pada tahun 2020.

Seterusnya, penggunaan tanah untuk pengurusan bahan buangan juga harus diberi perhatian.

Oleh kerana loji nuklear tidak membakar sewaktu proses pembelahan nukleus, maka jumlah sisa buangan cuma berkurangan sedikit daripada bahan asal. Lebih kurang 10,000 tan bahan buangan dikeluarkan daripada loji nukelar setahun, cuma 15% akan diproses semula dan hanya 1% sahaja akan efisyen seperti uranium yang tidak diproses semula.

China bercadang untuk membina respirotari kekal dalam tahun 2040 di Gurun Gobi untuk menyimpan sisa nuklear.

India pula sedang membuat kajian untuk pengacaan bahan buangan (proses membentuk bahan buangan nuklear menjadi seperti kaca) dan memprosesnya agar memenuhi spesifikasi tertentu supaya boleh dibuang digedung geologi kekal. Namun begitu, India masih lagi  mengharapkan penyimpanan bahan buangan di tujuh tempat dan hampir kesemuanya berhampiran dengan reaktor nuklear.

Secara tipikalnya, setiap loji nuklear akan menghasilkan 30 tan bahan buangan setahun dan bahan tersebut mempunyai jangka separuh hayat yang lama dan kekal radiokatif selama 250,000 tahun. Jangkaan menyimpan 1 tan sisa nuklear adalah sebanyak AS$35,000 setahun (Jangkaan yang paling rendah dan mungkin lebih mahal bergantung kepada situasi dan tempat).

Jangkaan untuk penyimpanan adalah 1/10 daripada 250,000 tahun iaitu 25,000 tahun. Jadi, jumlah kos yang perlu dikeluarkan untuk menyimpan tenaga sisa nuklear adalah lebih kurang AS$875 juta.

Malah, sisa nuklear taraf tinggi pula memerlukan 10,000 tahun untuk radiasinya berkurangan dan dikira selamat sebelum didedahkanya kepada manusia.

Penyelidik di Korean Advance Institute of Science and Technology menyedari tempat pembuangan sisa pepejal di bawah tanahnya tidak akan sedia pada tahun 2041 dan tapak sementara akan penuh pada sehingga 2024. Pada masa itu, sama ada Korea perlu mengeksport sisa buangannya atau menutup reaktor nuklear selama-lamanya.

Fasiliti loji nuklear tidak boleh beroperasi tanpa air, dan sesetengah kes pengurusan di loji nukelar mendorong kepada kekurangan bekalan air. Loji nuklear memerlukan bekalan air yang sangat banyak untuk menyejukkan reaktor. Kira-kira 174 liter air diperlukan untuk setiap 1kWh yang dihasilkan.

Oleh kerana loji nuklear menukarkan air kepada wap, ia boleh menjejaskan sumber bekalan air di kawasan tempatan. Malah, nuklear reaktor di AS menggunakan sekurang-kurangnya 216 juta liter air yang diambil dari sungai tempatan sehari.

Penggunaan air semasa proses penyejukan jga mendorong kepada pencemaran kepada alam sekitar.

Ellen Baum dalam laporannya bertajuk “The Hidden Side of Power Plant Pollution” yang diterbitkan pada 2008, mendedahkan sisi gelap dalam pengurusan air dari loji nuklear.

Sewaktu mengambil sumber air, anjing laut, kura-kura, ikan, larva, kerang, dan berbagai lagi hidupan maritim mati apabila terperangkap di tapisan air. Organisma kecil yang mampu melepasi tapisan tersebut akan mati apabila berada di dalam kitaran sistem penyejuk loji nuklear.

Berbilion ikan kecil, larva dan hidupan dari ekosistem marin turut menjadi mangsa daripada proses kondensasi reaktor nuklear.

Penyelidikan lanjut daripada Gunter dan lain-lain pada 2001 mendapati lebih 90% daripada mangsa daripada kondensasi reactor nuklear akan kembali semula ke sungai, laut, tasik, dan lain2 sumber air. Ia akan membentuk kepulan dan terapung di atas air serta menghalang cahaya menembusi ke dalam sungai.

Kesannya, tumbuhan akan mati kerana tidak mendapat sumber cahaya yang cukup. Malah ia juga membunuh hidupan air kerana tiada lagi proses penghasilan oksigen daripada proses fotosintesis oleh tumbuhan air.

Juga, pembuangan air panas secara berterusan ke dalam sungai atau laut juga membunuh tumbuh-tumbuhan, mengurangkan oksigen, dan menyebabkan gangguan yang ketara dalam kebanyakan ekosistem kitaran hidupan.

Untuk perspektif kesan rumah hijau, tenaga nuklear adalah yang paling bersih sekiranya dibandingkan dengan arang batu, bahan api fosil. Tetapi sewaktu pemprosesan uranium dan dan pengkayaan uranium, proses tersebut memerlukan jumlah tenaga elektrik yang sangat besar.
Ironinya, tenaga elektrik yang digunakan sebenarnya dijanakan dari bahan api fosil dan arang batu. Jika kita mengambil pencemaran karbon daripada kitaran awal sehingga kitaran akhir loji nuklear, keputusan menunjukkan kesan yang signifikan dalam dalam pembebasan CO2. Kajian daripada Dones dan lain-lain mendapati 103 kitaran hidup gas rumah hijau bersamaan dengan jumlah purata CO2 yang dibebaskan oleh loji nukelar iaitu kira-kira 66 g untuk setiap kWh atau bersamaan 183 juta tan CO2 pada 2005.

Rekod keselamatan loji nuklear sentiasa dipersoalkan. Tidak kurang daripada 99 kemalangan nuklear yang dilaporkan (didefinisikan kemalangan yang meragut nyawa dan kos kerugian melebihi daripada AS$50,000) telah melibatkan kerugian sebanyak AS$20.5 billion semenjak tahun 1952 sehingga 2009.

Angka ini juga melibatkan AS$330 juta kemusnahan setiap tahun dalam tempoh tiga dekad.

Walaupun perbandingan kemusnahan antara loji nuklear dan sumber bahan asas yang lain menunjkkan kemusnahan akibat loji nuklear adalah kedua tertinggi dalam indeks kemusnahan (yang pertama adalah hidroelektrik dan lebih tinggi daripada bahan api fosil, arang batu, dan gas natural), Kesatuan Eropah melaporkan kesan kemusnahan akibat kemalangan daripada loji nuklear adalah 41 kali ganda lebih teruk daripada arang batu, bahan api fosil, dan hidroelektrik itu sendiri.

Kenyataan CEO Malaysia Nuclear Power Corporation, Dr Mohd Zamzam Jaafar di Forum “Is Nuclear Power an Option for Malaysia??” di Bar Council Malaysia pada 24 Januari 2015, mendedahkan RM21.3 billion adalah jangkaan yang diperuntukkan kerajaan dan bukanlah kos sebenar.

Kemungkinan besar kos sebenar adalah lebih daripada itu. Malah, beliau turut mendedahkan teknologi nuklear yang akan digunapakai di Malaysia bukanlah teknologi Molten Salt Reactor (MSR) berasaskan Torium yang terbaru dan lebih selamat.

Ini kerana teknologi tersebut hanya akan tersedia pada 2035. Juga, beliau juga masih tidak menyatakan secara jelas mengenai jenis teknologi yang akan diguna pakai di Malaysia.

Di atas merupakan hujah dan sebab kenapa saya menentang pembinaan loji nuklear di Malaysia. – 3 Februari, 2015.

* Bahagian pertama rencana ini boleh dibaca di sini.

* Penulis merupakan seorang aktivis Anak Malaysia Anti Nuklear

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/kenapa-saya-menentang-pembinaan-loji-nuklear-bahagian-2-muhammad-musoddiq-j#sthash.yauU3PT5.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *